Grup Gerak Khas atau GGK merupakan entiti pasukan elit utama dalam Malaysia. Ia merupakan sebuah rejimen komando dalam formasi Tentera Darat Malaysia. Penugasan GGK ialah melengkapkan skuadronnya dalam mengesan, melapor dan menghuru-harakan kedudukan musuh melalui penyusupan jauh ke dalam kawasan operasi melalui hubungan kerjasama dengan pihak gerila atau puak penentang. GGK akan menyusun strategi, persediaan dan apabila diarahkan, serangan susulan akan dilakukan meliputi pertempuran bukan konvensional, pertahanan dalaman, pengintipan khas dan tindakan berterusan melalui sokongan objekif oleh polisi kerajaan di dalam kawasan yang dipertanggungjawabkan. Pasukan ini beroperasi di Sungai Udang di Melaka dan Mersing di Johor.
Grup Gerak Khas merupakan entiti utama pasukan elit negara dalam cabang Tentera Darat Malaysia. Perhatikan karbin Colt M16A1 yang menjadi pilihan tepat unit ini dalam operasi menangani keganasan.GGK yang mendapat latihan khas daripada 40th Royal Marines Commando Britain selepas konfrontasi melibatkan Malaysia-Indonesia ini dilatih meliputi pertempuran bukan konvensional yang merangkumi pelbagai teknik - Taktik Gerila / Anti-Gerila, Taktik Elak dan Lari, Subversif, Sabotaj, Anti Pengganas dan kepakaran yang sudah menjadi lumrah bagi tentera darat - Pertempuran Di dalam Hutan. Unit ini memperolehi reputasi yang paling baik (selain Komando 69 PDRM) dalam operasi memerangi pengganas komunis suatu ketika dahulu. Selepas perletakkan senjata oleh Parti Komunis Malaysia pada tahun 1989, unit ini dipertingkatkan kemahiran dengan operasi dan pengintipan khas. Bagi menjaga hubungan baiknya dengan negara serumpun berikutan selepas insiden konfrontasi tersebut, Grup Gerak Khas turut mengalu-alukan pasukan sahabatnya iaitu Tentera Nasional Indonesia (TNI) - Tentera Darat melalui latihan bersama Grup Gerak Khas dengan pasukan elit Kopassus Indonesia. Dari situ, hubungan baik antara GGK dengan Kopassus bertambah kukuh. Kini, terdapat 3 buah rejimen yang terdiri daripada Rejimen ke-11, 21 dan 22 GGK. Rejimen ke-11 GGK atau Rejimen Lawan Keganasan merupakan sebuah rejimen memerangi keganasan khasnya di kawasan yang memerlukan pertempuran jarak dekat taktikal, misalnya di dalam bangunan, kapal dan pesawat udara. Amat unik sekali, taktikal rejimen ini lebih berpaksikan pasukan elit British iaitu Rejimen 22 Special Air Service (SAS). Ini dapat dibuktikan dari segi kelengkapan baik persenjataan, peralatan mahupun pakaian taktikal rejimen ini kelihatan menyamai pasukan 22 SAS. Rejimen ini dilatih oleh pasukan elit berkenaan pada tahun 1990 selepas perletakkan senjata oleh PKM dan memerlukan pasukan taktikal bagi menangani keganasan yang paling mencabar ini, termasuklah keganasan global. Manakala, rejimen ke-21 dan 22 merupakan rejimen komando dan unit-unit inilah yang menjadi nadi utama semasa insurgensi kedua membanteras komunis.
Adik-adik dan teman-teman di luar sana, menjadi anggota Komando bukanlah satu perkara mudah. Tidak semudah melihat segak tangkas langkah mereka. Tidak semudah melihat mereka menyarung beret hijau kebanggaan mereka.
Sepatah kata Sarjan Misor Komando ( jurulatih di ROTU UMS ) dulu, seorang anggota komando memang dilahirkan untuk menjadi komando! Dalam diri mereka memang telah ada DNA komando! Dengan kata lain, seorang anggota komando sejati, mereka memiliki mental dan fizikal yang melebihi tahap yang dimiliki oleh orang kebiasaan.
Justeru, pada setiap latihan yang mereka tempuhi, sekalipun perit di mata masyarakat, itulah ubat yang sangat mereka perlukan bagi mengasah mereka menjadi komando yang sejati. Janganlah semudah-mudah dan sewenang-wenangnya kita memperkecilkan dan merendah-rendahkan tahap latihan yang mereka jalani. Jangan kerana kita kata kita tinggi agama, maka cara mereka salah semata-mata di mata kita. Terlalu banyak yang mereka tempuhi. Perit getirny tidak akan dan tidak sekali-kali mereka akan ceritakan. Namun sekelumit video di bawah sudah memadai membuatkan masyarakat melatah kerana "di luar peri kemanusiaan". Namun hakikatnya, di situlah terletaknya "nilai" yang tinggi yang membezakan antara orang biasa dan makhluk istimewa ini.
Berikut adalah sedikit video fasa survivor di paya bakau. ( Maaf kalau kurang menyenangkan ).
Berikut pula video survivor pada fasa yang lain...
Apa yang mereka lalui adalah untuk memberikan mereka kekentalan jiwa dan mental. Suka saya ingatkan, sebagai masyarakat, kalau nampak video sebegini jangan mudah melatah dan meludah. Hanya mereka yang melalui saluran ini yang dapat memahami. Jangan mudah kita membuat tanggapan yang bukan-bukan.
Kepada adik-adik yang minat untuk jadi anggota Komando (GGK), jangan patah semangat atau takut-takut! Sapa lagi yang nak pertahankan tanah air kita kalau bukan kita?
Kalau adik-adik tengok video kat atas, dah rasa macam tak ada keperimanusiaan dan benci diperlakukan begitu, baik adik tak payah niat nak masuk komando. Ternyata dalam diri anda tak ada DNA yang dimaksudkan.
Tapi kalau adik-adik rasa berpeluh, jantung berdebar-debar, terasa dan terbayang cabaran tersebut dilalui oleh diri sendiri, dan yakin mampu bertahan.... adik... silakanlah. Mungkin anda orang yang dicari.
Selamat menyambut bulan kemerdekaan.
Cintai tanah air kita!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan