Sep 17 |14:01
16 September 2010 – Konvoi Darat Aqsa 2 Gaza VP5 selamat tiba dari Doha dengan Qatar Airways tepat jam 1.02 petang waktu UK dengan suhu tempatan sekitar 15C. Rombongan disambut oleh Ameer Majlis Syura Muslimiun UK & Eire (MSM) Saudara Abdul Azim Ismail dan beberapa pelajar Malaysia di London-Gatwick Airport. Sebaik sampai mereka menunaikan solat berjamaah di Multy-faith hall yang diimamkan oleh Ustaz Rofazlin Jusoh (Sukarelawan dari AQSA Johor).
Seterusnya mereka dibawa dengan menaiki 3 buah kereta ke penginapan yang disediakan oleh MSM di Willesden London. Sepanjang perjalanan hampir 1 jam setengah ke penginapan, para sukarelawan berpeluang menikmati pemandangan landskap UK yang kebetulan cuaca cerah, seolah-oleh menyambut ketibaan para sukarelawaan Malaysia. Ketibaan mereka diraikan
dengan jamuan makan petang sambil beramah mesra.
Ujian Pertama Kumpulan Sukarelawan AQSA
Sebaik sahaja tiba di lapangan terbang, salah seorang dari anggota sukarelawan iaitu Hj Norazmi Talib telah ditahan untuk soal-siasat pihak imigresen UK. Ketua konvoi, PM Dr Mohd Zin , meyakini bahawa semua anggota sukarelawan telah terlebih dahulu dipastikan memiliki semua dokumen perjalanan yang lengkap, termasuk pendaftaran dengan Viva Palestina UK.
Kemungkinan besar insiden tersebut hanyalah suatu pemeriksaan rawak yang dijalankan secara rutin oleh pihak berkuasa UK. Harapan beliau insiden tersebut menjadi pengalaman berharga dan diambil secara positif walaupun terpaksa menunggu hampir lima jam sebelum dilepaskan pada jam 5.20 petang.
Ujian kecil tersebut tidak mematahkan semangat mereka walaupun para sukarelawan pada peringkat awalnya agak cemas. Bantuan dan nasihat dari Pengerusi Jawatankuasa Task Force Konvoi AQSA di Malaysia PM Dr Hafidzi dan Viva Palestina UK telah diperolehi dan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Source : Mr. Hisham Walat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan