Semua manusia tidak suka dipaksa-paksa. Lebih-lebih lagi apabila diminta melakukan perkara yang kurang digemarinya. Cubalah suruh sesiapa pun dengan memaksa, rata-rata akan timbul reaksi atau tindak balas yang negatif. Jangankan manusia, binatang sekalipun apabila dipaksa, akan menunjukkan reaksi marahnya.
Kita tidak suka dipaksa. Maka, untuk tujuan tersebut kita tidak boleh sekali-kali memaksa. Kerana apa yang kita rasa apabila dipaksa, mungkin sama dengan orang lain apabila mereka kita paksa-paksa.
Namun, dalam sesetengah hal, keadaan memaksa juga perlu. Jika tidak, nyawa jadi taruhan. Tapi apa yang cuba disampaikan dalam topik ini ialah, lebih baik menggunakan cara BERHIKMAH sebagai ganti PEMAKSAAN.
Anak apabila terlalu dipaksa-paksa akan membuatkan mereka memiliki sikap memberontak. Isteri apabila sering dipaksa-paksa, akan mewujudkan satu perasaan kurang selesa dan kurang selamat di sisi suami. Ketua jika suka memaksa anak buah, lambat laun akan dipulaukan.
Kita perlu bijak dan pandai meletakkan "PAKSAAN" dalam situasi yang benar-benar sesuai. Tidak semua keadaan perlu ada paksaan. Namun tanpa paksaan, manusia juga akan binasa di tangan diri sendiri.
Kembali kepada akhlak Nabi Muhammad S.A.W, baginda menegakkan syariat dengan sangat tegas, tetapi penuh hikmah sekalipun pada perkara yang sangat berat. Umat Baginda pula dapat menerimanya tanpa ada rasa paksaan. Mari kita contohi Nabi. :D
Tiada ulasan:
Catat Ulasan