Selamat Datang Ke BLOG ACHTUNG...Semoga beroleh manfaat.

Khamis, 1 April 2010

PROSES MENUKAR KISWAH


Dibawah ini ada sedikit gambar bagaimana proses menukar kiswa (kelambu Kaabah) dilaksanakan. Gambar agak kurang jelas kerana mungkin dirakam dengan menggunakan telefon bimbit. Terima kasih atas perkongsian gambar ini. Setidak-tidaknya nampaklah juga bagaimana pelaksanaannya dibuat.
Gambar berikut ialah Kaabah yang telah ditanggalkan kiswa sepenuhnya semasa proses penyalinan kepada kain kiswa yang baru.


Menggantikan kain penutup baru Kaabah atau kiswa pada setiap tahun menjadi satu tradisi bagi penduduk Mekah sejak sekian lama.

Bagi menggantikan kain penutup baru Kaabah pada tahun depan, kerja-kerja menjahit dan menenun dengan tangan telahpun dimulakan sekarang walaupun musim haji tahun ini baru saja berakhir.

Kerja-kerja menenun dan menyulam itu dilakukan oleh lebih 100 orang pekerja lelaki termasuk pekerja cacat di kilang atau bengkel kiswa di Umm Al-Jood, kira-kira 25 kilometer dari bandar Mekah.

Langsir pintu Kaabah tingginya ialah 6.5 meter dan 3.5 meter lebar diperbuat daripada kain sutera hitam dan tulisan khat ayat-ayat suci padanya adalah daripada sulaman benang emas dan perak.

Sementara tali pinggang Kaabah pula berukuran 47 meter dan 95 sentimeter lebar disulami dengan benang perak.

Kilang kiswa pertama ditubuhkan semasa pemerintahan Raja Abdul Aziz pada 1346 Hijrah, kira 78 tahun lalu dan pengurus yang pertama ialah Sheikh Abdul Rahman Muzhar.

Bagaimanapun kilang itu diperbesarkan beberapa tahun lalu daripada tiga seksyen kepada enam seksyen.

Kiswa dibuat dalam lima peringkat iaitu, peringkat mewarnanya di mana kain sutera direndam dalam air panas selama 24 jam hingga ia bertukar warna putih bercahaya sebelum diwarnakan hitam atau warna-warna lain mengikut bahagian-bahagian tertentu.

Peringkat kedua adalah kerja menenun dan kebanyakan kerja-kerja itu dilakukan dengan tangan, tetapi bagi bahagian-bahagian yang besar dan tidak memerlukan kerja seni dibuat menggunakan mesin.

Bagaimanapun sulaman tangan digunakan untuk sentuhan terakhir dan ia hanya boleh dilaksanakan oleh mereka yang mahir.

Fasa seterusnya ialah mencetak semua rekabentuk dan kaligrafi yang akan diletakkan pada hizam untuk disulam dan proses menyulam itu merupakan tugas yang cukup teliti dan mengambil masa yang panjang.

Kelambu Kaabah biasanya digantikan pada setiap 9 Zulhijah atau pada hari wukuf, iaitu ketika semua jemaah berkumpul di Padang Arafah, iaitu kemuncak ibadah haji.

Semasa zaman Rasulullah S.A.W, kiswa diperbuat dari kain yang dibawa dari Yemen dan ditukar dua tahun sekali, iaitu sebelum Ramadan dan semasa Hari Raya Aidiladha.

Selepas itu, kain penutup Kaabah dibuat di Mesir kerana kepandaian penduduknya dalam kerja-kerja menenun kain.

Tiada ulasan:

ACHTUNG!
Image by ACHTUNG! Design