Selamat Datang Ke BLOG ACHTUNG...Semoga beroleh manfaat.

Isnin, 31 Oktober 2011

Anak kunci Kaabah kurun ke-12 dilelong RM60 juta

LONDON 10 April 2010 – Sebatang anak kunci Kaabah pada kurun ke-12, dijual pada harga 9.2 juta pound sterling (RM60.72 juta) dalam satu lelongan di sini semalam, sekali gus mencatat rekod baru untuk jualan barangan antik Islam.

Kunci sepanjang 37 sentimeter yang diperbuat daripada besi itu dipercayai tinggalan zaman Khalifah Abbasiah.

Kunci itu berjaya dilelong oleh pusat lelongan Sotheby pada harga 18 kali ganda lebih tinggi daripada harga tawaran.

Ia dipercayai sebagai satu-satunya kunci Kaabah yang berada dalam simpanan orang perseorangan.

Kunci itu yang dikatakan simbol kuasa keagamaan, mempunyai ukiran berbunyi:
“Inilah yang dibuat untuk rumah suci (Kaabah) semasa zaman anak Imam al- Muqtadi Abu Ja’far al-Mustansir Abu’l- Abbas 573.”

Lelongan barangan seni Islam yang diadakan kali ini mencatat jualan sebanyak 21.5 juta pound sterling (RM141.9 juta) berbanding jangkaan 13.1 juta pound sterling (RM86.46 juta).

“Menakjubkan, jualan itu melebihi pendapatan tahunan Jabatan Seni Islam pada 2007. Ia menggambarkan permintaan yang tinggi masyarakat antarabangsa terhadap barangan kesenian Islam,” kata Ketua Jabatan Seni Islam Sotheby, Edward Gibbs.

Rekod jualan barangan antik Islam sebelum ini ialah kepala air pancut gangsa dari Sepanyol pada kurun ke-10 yang dijual oleh rumah lelongan Christie pada 1997 sebanyak 3.6 juta pound sterling (RM22.451 juta).

Kelmarin, Christie turut mengadakan lelongan termasuk sekeping daun yang mempunyai tulisan al-Quran pada kurun ketujuh pada harga 2.5 juta pound sterling (RM15.59 juta) berbanding jangkaan awal 100,000 pound sterling (RM623,958).

Menurut syarikat itu, penjualan tersebut juga merupakan rekod terbaru manuskrip Islam. Selain kunci itu, terdapat 58 lagi kunci Kaabah yang disimpan di dalam muzium di beberapa buah negara.

Sebanyak 54 daripada kunci itu disimpan di Muzium Diraja Topkali, Istanbul dan dua lagi disimpan di Nuhad Es-Said Collection, sebatang di Paris dan sebatang lagi di Muzium Kesenian Islam, Kaherah.

– Reuters

Tiada ulasan:

ACHTUNG!
Image by ACHTUNG! Design