Selamat Datang Ke BLOG ACHTUNG...Semoga beroleh manfaat.

Sabtu, 23 Januari 2010

KEMANGKATAN SULTAN JOHOR


Al-Fatihah
untuk
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Almutawakkil Alallah, Al-Marhum Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail


Terkejut rasa bila Ustaz Omar dan Ustaz Ezaidin kata Sultan Iskandar dalam keadaan tenat. Baru perasan rupanya selama ni tak terperasan baginda dah lama juga dalam rawatan. Menjelang maghrib, semasa di dalam bilik mandi, terdengar suara televisyen rumah jiran tentang pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abd Ghani Othman. Saya bergegas ke ruang tamu, pasang tv, berderau darah... pengumuman kemangkatan Sultan Iskandar.

Serta merta bermain dalam kepala pelbagai kisah tuanku sultan dari saya belum sekolah, sehinggalah kepada kenangan penerimaan watikah tauliah Leftenan Muda dari baginda pada 2001. Baginda terkenal sebagai sultan berjiwa rakyat, berterus terang dan sangat tegas dalam protokol dan keagamaan.

Semasa kecil, saya masih ingat lagi semasa sambutan Hari Kebangsaan diadakan di JB. Semasa perarakan motosikal berkuasa besar, baginda turun merapati perarakan, menahan salah sebuah motosikal tersebut, lalu menungganginya. Gamat dibuatnya.

Semasa baginda merasmikan Masjid besar di BBU yang beraircond, berlaku sedikit kesilapan dalam perjalanan majlis, lantas baginda menegur orang-orang kenamaan secara direct di situ juga.

Manakala semasa upacara perbarisan istiadat tauliah, baginda yang dijangka hanya memeriksa barisan hadapan sahaja dan kemudiannya akan menaiki land rover, sebaliknya bertegas mahu memeriksa setiap barisan dengan berjalan kaki. Padahal pada saat itu kelihatan baginda tidaklah begitu sihat. Namun, jiwa baginda yang begitu bersemangat tinggi tiada siapa yang menjangka baginda terus memeriksa setiap barisan sambil menegur anggota perbarisan istiadat. Teringat juga baginda menegur Afdal Izal (anak bekas Panglima ATM Jen. Tan Sri Md. Hashim) ... yang saya terdengar baginda menyebut... "GEMUK"... mungkin baginda menegur beliau supaya fit!

Semasa di dewan penyampaian tauliah pula, pihak urusetia menjangka majlis akan berhenti rehat 3 kali, di samping watikah akan disampaikan oleh baginda dalam keadaan baginda duduk memandangkan keadaan baginda yang kelihatan tidak begitu sihat. Namun sebaliknya pula berlaku, kerana baginda tidak mahu sesi rehat sama sekali, sebaliknya diteruskan sekali jalan. Bukan itu sahaja, malah baginda menyampaikan setiap watikah ( lebih 1500 orang kalau tak silap ) dalam keadaan berdiri tanpa henti. Masyaallah. Kuatnya semangat baginda. Tak letih balas tabik. Baginda berganjak ke tangga pentas sehingga langkah menuju ke arah baginda dipendekkan dari 12 langkah menjadi 3 langkah.

Ramai yang memandang rendah pada keupayaan baginda saat usia baginda begitu. Padahal, hanya mereka yang mengenalinya sahaja yang menyimpan seribu rahsia siapa baginda sebenarnya.

Semoga Allah mempermudahkan urusannya di alam abadi. Semoga amalan dan kebaikannya Allah berkati sehingga terselamat dari azab kubur dan azab neraka. Amiin.

1 ulasan:

afdal berkata...

Tuan Anuar,

Dia suruh aku hilangkan getah kat pergelangan tangan - lepas tu kata ingat aku ni bodoh ke?

Masa kat makan tengahari yang tegur - badan gemuk, macamana nak jadi askar.... heheheh... teringat zaman tu.

ACHTUNG!
Image by ACHTUNG! Design