Selamat Datang Ke BLOG ACHTUNG...Semoga beroleh manfaat.

Ahad, 24 Januari 2010

Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF)

Askar Timbalan Setia Negeri Johor atau JMF ( Johore Military Forces ) telah ditubuhkan pada 1885. Angkatan ini merupakan angkatan bersenjata milik Sultan Johor. Umumnya bagi penduduk di Johor, angkatan ini juga dikenali sebagai "Askar Tuanku". Penubuhan angkatan ini terlaksana semasa Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar menjadi Sultan Johor. Baginda menerima saranan pihak British agar memiliki sebuah kekuatan tentera sendiri bagi melindungi Institusi Diraja dan juga bumi Johor. Oleh itu pada peringkat awal penubuhan, angkatan JMF terdiri daripada 60 orang askar Melayu dan 20 orang askar Punjabi. Askar Melayu JMF dilatih sebagai infantri manakala askar Punjabi dilatih dalam unit artileri.


Pada awal penubuhan JMF, Komandan pertama yang dilantik adalah dari kalangan pegawai British iaitu Kapten Newland dan kemudiannya diserahkan kepada Kapten Daud Sulaiman sebaik ditauliahkan.

Tanpa kita sedari, banyak jasa JMF yang terpahat dalam lipatan sejarah kemerdekaan tanah air khususnya dalam negeri Johor. Misalnya pada tahun 1915, iaitu semasa perang dunia pertama, JMF telah menyekat dan menghentikan pemberontakan pasukan tentera India dari Fifth Light Infantry di Singapura. JMF berjaya menahan tentera pemberontak yang berjaya membolosi sempadan ke Johor dalam usaha mereka melepaskan diri dari terus menjadi Tentera British.

Pada masa yang lain dalam perang dunia pertama juga, kerajaan telah menghantar satu kontinjen JMF terdiri dari dua orang pegawai dan 100 anggota lain-lain pangkat menyertai misi ke Tanglin Barracks di Singapura. Matlamat utamanya adalah untuk melindungi republik tersebut semasa peperangan. Di samping itu, kontinjen yang dihantar diberikan tanggungjawab mengawal tahanan perang dan melindung Pulau Belakang Mati ( kini dikenali sebagi Pulau Sentosa ) sehinggalah era peperangan dunia pertama tamat.

JMF juga pernah diberikan tanggungjawab memastikan keselamatan dan keamanan sepanjang laluan Mersing, Kluang, Batu Pahat dan lapangan terbang Kluang ( kini menjadi Lapangan Terbang TUDM ).

Siapa tahu pengasas UMNO dan bekas Menteri Besar pertama Johor Datuk Onn Jaafar, anaknya yang juga bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn, dan bekas Chief of Armed Forces General (Rtd) Tun Ibrahim Ismail merupakan individu yang telah banyak berjasa dalam keanggotannya sebagai Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Jangan terkejut kalau ada yang kata bahawa Professor Diraja Ungku Aziz juga pernah menyandang pangkat Major dalam angkatan JMF ini.

Tiada ulasan:

ACHTUNG!
Image by ACHTUNG! Design