Selamat Datang Ke BLOG ACHTUNG...Semoga beroleh manfaat.

Selasa, 7 April 2015

TIBA KE TAK TIBA

TIBA KE TAK TIBA

Engkau tiba...
Ke engkau tak tiba
Ke engkau nak tiba
Ke engkau tak jadi tiba
Ke engkau memang tiba
Ke engkau memang takkan tiba

Buat aku gundah gulana
Buat si rambut panjang mengiau
Buat si rambut panjang separuh hentak kepala ke meja
Buat si gelap terasa takkan putih
Buat si rendah terasa takkan tinggi
Buat si bapak lenguh liur

Kau tiba ke tak
Tiba kata tiba
Tak tiba jangan kata tiba
Tiba jangan kata tak tiba
Tiba ke tak tiba
Tak tiba ke tiba

Karang...
Tiba-tiba kau tak tiba
Tiba-tiba kau tiba
Tibalah tiba
Taklah tak

Tibalah
Lapang kepala semua!!!


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Nukilan saat menantikan "buah yang tak gugur" untuk syarikat. 
Khabarnya minggu sudah, jadi minggu ni, pastu jadi minggu depan pulak.
Sudahnya jadi macam menunggu buah tak gugur.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

EMBAH DAH PERGI

EMBAH DAH PERGI

Dia berwajah ceria
Seribu kedut wajahnya
Terukir kerana senyuman manisnya
Tawanya sekadarnya
Marahnya tanda wibawa

Tulang empat kerat
Dibanting penuh semangat
Pohon ditoreh sepenuh kudrat
Pelepah disabit basah dek keringat
Anak-anak takkan hampa meminta pastikan dapat
Cucu-cucu menumpang turut merasa rahmat

Kampung ke estet lanjut ke taman
Taman Seri Aman jadi hentian
Mengisi waktu penghakis zaman
Hanya isteri jadi teman
Bersama Wati pengisi kekosongan
Pengurus kehidupan

Gering tiba
Musibah menimpa
Derita tak terhambur dengan bahasa
Sengsara tak terukir dengan kata-kata
Tinggallah kulit dan tulang bernyawa
Tiada suara jauh sekali bicara

Mentari di barat
Dia dijelang sakarat
Anak cucu berderaian airmata
Suasana penuh hiba
Tinggallah sebuah kisah
Takkan bisa lagi digubah
Telah pergi insan disegani
Embah ... moga dirahmati
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sajak untuk atuk. Beliau baru pergi menemui ilahi. Nukilan buat mengingati saat
pemergiannya. Moga dia sentiasa di dalam rahmat Allah yang Maha Esa.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

UTAMAKAN HAK ALLAH

UTAMAKAN HAK ALLAH

Hak Allah bukan yang kedua
Untuk kita jaga
Allah akan sempurnakan dunia kita
Bila jadikanNya yang pertama
Asbab kita wujud di dunia
Yang lain jadi kedua ketiga dan ke seterusnya

Hak Allah paling utama
Berbanding semua perkara
Boleh buat kita bahagia
Boleh buat kita celaka
Boleh buat kita ke Syurga
Boleh buat kita ke Neraka
Selamanya

Sibuknya kita bekerja
Itu urusan dunia
Sibuknya kita berkarya
Itu urusan dunia
Sibuknya kita mengawal negara
Itu urusan dunia
Sibuknya menjaga rumahtangga tercinta
Itu urusan dunia

Semua jadi kedua ketiga dan ke seterusnya

Hak Allah yang pertama
Perhatikan ia
Jangan sekali terlupa
Jangan pernah jadikannya yang kedua

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sajak : Utamakan Hak Allah
Sebagai ingatan buat diri yang sering lalai untuk solat sebaik masuk waktu.
Padahal perkara melambatkan solat takkan berlaku kalau istiqamah menunaikan
solat di masjid secara berjemaah. Usia makin berkurang, tapi diri bagaikan di
takuk lama dalam ibadah. 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

NAFAS PAGI

NAFAS PAGI

Pagi-pagi biar tenang
Bukan perang

Pagi-pagi biar senyum
Bukan mengaum

Pagi-pagi biar aman bahagia
Bukan huru-hara

Pagi-pagi biar harmoni
Bukan basi-basi

Pagi-pagi biar teratur
Bukan terabur

Pagi-pagi biar pahala tersalut
Bukan kusut serabut

Pagi-pagi biar macam nelayan turun ke laut
Bukan macam nelayan di pasar serabut

-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sajak : Nafas Pagi

Sajak pagi yang dinukilkan waktu pagi pada pagi yang serabut dan huru-hara.
Terhambur bahasa pagi yang diharapkan tapi entah bagaimana membentuknya.
Sesungguhnya pagi adalah permulaan hari baru selepas kita dimatikan seketika 
sebaik pertukaran hari menjelang maghrib. Sebaiknya ia perlu disambut dan dimulai 
dengan penuh kemanisan, keharmonian, pengharapan dan persediaan. 
--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ahad, 22 Mac 2015

KACA SENJA

KACA SENJA

Semakin hari dia semakin tua
Semakin dimamah usia
Dulu tubuh bak besi waja
Tapi kini ibarat kaca
Saat untuk bersama
... tidak mungkin selamanya

Seusia wajanya
Kita dibentuknya
Kita dicanainya
Kita diberusnya
Kita digasaknya
Berserta untaian airmata
Kasihnya...
Manjanya...
Rindunya...
Sepayahnya...
Seadanya...

Kini dia berusia kaca
Andainya...
Terhentak retak selamanya
Terhempas berderai selamanya...
Takkan bercantum seperti sedia kala...
erlantar sakit
Kita...
Hasil acuannya...
Sehabis baikkah bakti kita kepadanya
Sehebat diakah kita menjaga kebajikannya
Sehebat diakah kita menakluki hatinya
Sehebat diakahkita berkorban harta dan masa untuknya
Sehebat diakah kita

Atau kita menjadi sang perobek hatinya
Atau menjadikannya pembantu rumah kita
Atau menjadikannya tetamu yang tidak diundang dan tidak disenangi
Atau kita manjadi penggali telaga air matanya...
Atau pencuri waktu ibadahnya pada usia senjanya...

Kitakah itu...

Sang senja pasti berlabuh jua
Saatnya sahaja kita takkan terjangka
Waktu tersisa
Kita jadilah anak yang paling berbakti kepadanya
Demi kebahagiaan kita dan dia di Sana..
Saat menghadapNya...

20:26/21 Mac/Mersing/Surau Sri Lalang
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Aku tuliskan bait kata-kata ini saat mengenangkan ibu mertuaku yang terlantar sakit. Sajak ibu. Pada masa yang sama aku terkenangkan bagaimana sibuknya sang anak-anak dengan diari harian yang tersendiri. Meskipun beliau diziarahi, dilawati, dihantar untuk rawatan, namun aku terkenangkan bagaimana beliau menempuh hari-hari usia emasnya. Bagaimana perasaannya mengisi hari-hari tersisa tanpa suami tersayang yang telah lama pergi. Pengorbanannya dahulu adakah berbalas.

AWAS BICARA

Bila berbicara
Banyak caranya
Banyak kaedahnya
Banyak kesannya
Banyak faedahnya
Banyak bahananya
Banyak dosanya
Banyak pahalanya

Bicara mulut
Bicara mata
Bicara hati
Bicara akal
Bicara anggota

Kesemua bicara
Ada kesannya
Ada baik ada buruknya
Bergantung kepada
Apa penyampaiannya

Apapun wadah bicaranya
Ternilai pada isi bicara
Yang terisi pahala
Mahupun berisi dosa
Kesemuanya
Terakam kemas pada Sang Pencipta
Maha Mendengar segala
Maha mengetahui segala

Bicara penuh pahala
Indah sekali balasannya

Bicara penuh dosa
Perlu digeruni ancamannya

Yang mana bicara kita
Akal dan hati mencorakkannya
Nafsu gelora mencemarkannya

Bicara
Biar waspada

Bicara
Biar kenal batasnya
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sajak Awas Bicara aku nukilkan saat merasa sangat marah dengan viral Aisyah Tajuddin yang memperlekehkan hukum Allah iaitu Hudud. Beliau sama sekali tidak layak untuk melemparkan kata-kata seumpama itu atas apa jua alasan. Sama ada disuruh atau kerana makan gaji, pokoknya ia terkeluar dari mulutnya berserta kesungguhan bicara pada lenggok dan memek mukanya. 

Kesal dan marah pada tindakannya hanya mampu terluah pada sajak Awas Bicara. Buat masa ini itulah dulu luahan yang ada... banyak lagi... tapi pedas bahasa. Lain pula jadinya. Pada Aisyah Tajudin, ingatlah, kemaafan yang anda pinta tak selesaikan masalah yang ada. Bertaubatlah selagi masa berbaki. Kematian datang bila-bila. Bimbang tak cium bau Syurga. Pada yang marah, jangan memaki mencaci. Cacian itu juga ada balasan buat kita. Awas bicara...
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
ACHTUNG!
Image by ACHTUNG! Design